Majlis Resepsi Amar Baharin & Amyra Rosli Bertemakan Black Glam

Bertemakan Black Glam, majlis resepsi pasangan pelakon, Amar Baharin, 31, dan Amyra Rosli, 25, yang berlangsung di sebuah hotel di sini, meriah dihadiri hampir 1,000 tetamu terdiri daripada keluarga, sanak saudara dan kenalan rapat mempelai.

Tepat pada jam 8.50 malam, Amyra atau nama penuhnya Nur Amirra Izzati, Rosli Awang, melangkah jelita menyarung gaun rona 'beige' rekaan Rizman Ruzaini. Sama padan, Amar segak menyarung busana dari pereka yang turut merangka keseluruhan konsep majlis persandingan itu.

 Senyuman pasangan raja sehari menterjemahkan kebahagiaan yang sedang menghuni sudut hati ketika duduk bersanding di pelamin. Restu keluarga yang turut menepung tawar mengiringi langkah baharu pasangan yang berputik cinta ketika membintangi drama rantaian, Suamiku Encik Sotong.

Dimeriahkan dengan persembahan penyanyi bervokal lantang, Jaclyn Victor yang mengalunkan lagu Mencintaimu nyanyian asal penyanyi popular Indonesia, Krisdayanti, majlis resepsi Amar dan Amyra diserikan kehadiran rakan artis antaranya Fara Fauzana, Saharul Ridzwan, Zarina Zainuddin, Didie Alias, Linda Rafar, Hafreez Adam serta Faezah Elai. Ibu Amyra, Norzaridah Ahmad ketika ditemui mengakui berat untuk melepaskan anak kesayangan yang ditatang seperti minyak yang penuh selama 25 tahun, namun semua itu direlakan demi kelangsungan hidup dalam memenuhi fitrah cinta sesama insan.


Pasangan yang mengikat pertunangan pada 22 Julai lalu dinikahkan bapa pengantin perempuan, Rosli Awang dengan disaksikan Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Hazman Hashim selepas Asar, semalam. Majlis menyambut menantu di sebelah pihak keluarga lelaki pula akan diadakan di Ampang, Selangor pada 19 November depan bertemakan tradisional.-BHrian

0 Response to "Majlis Resepsi Amar Baharin & Amyra Rosli Bertemakan Black Glam"

Post a Comment